KUALA LUMPUR: Lembaga Disiplin Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menentukan status keahlian pengasasnya Datuk Zuraida Kamaruddin dan 12 lagi ahli, selepas mereka gagal memberi maklum balas kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan sebelum ini.

Memetik laporan portal The Vibes, Presiden PBM Larry Sng berkata, tiada seorangpun daripada 13 individu tersebut memberi respons kepada surat tersebut, dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan pengerusi lembaga displin parti pada hari ni.

Laporan itu menyebut, antara nama yang tersenarai selain Zuraida ialah Timbalan Presiden parti Hanizah Mohamed Talha, Setiausaha Agung Nor Hizwan Ahmad, dan Ketua Penerangan Zakaria Abdul Hamid.

Media sebelum ini melaporkan, kesemua 13 ahli itu digantung pada 29 Oktober, atas alasan membuat tindakan yang merendahkan kepentingan parti, khususnya selepas mengumumkan Zuraida sebagai presiden parti pada 8 Oktober lepas.

Sng dilaporkan memberitahu The Vibes, beliau hairan mengapa Zuraida dan penyokongnya mempersoalkan status Sng sebagai Presiden, sedangkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu sendiri menandatangani surat sokongan.

Tambahnya lagi, beberapa ahli dalam kumpulan Zuraida, yang bakal berhadapan tindakan pemecatan, secara terbuka memberitahu mereka tidak mahu memberi respons kepada surat tunjuk sebab itu.